Untuk mendapatkan paparan yang lebih baik sila gunakan Browser Mozilla Firefox 8.0 atau Browser Internet Explorer 9.0 ke atas.
AKTIVITI BULAN INI: Keputusan PT3 ***** Mesyuarat Guru ***** Pendaftaran Tingkatan 1 ***** Minggu Orientasi Pelajar Tingkatan 1 ***** Kejohanan Merentas Desa *****

Semakan Tawaran Kursus Perguruan Lepas SPM (KPLSPM) Ambilan Jun 2011


Semakan Keputusan Tawaran KPLSPM Ambilan Jun 2011 boleh disemak melalui laman sesawang Bahagian Pendidikan Guru 
mulai 19 Mei 2011.

Perutusan Pengarah JPNT Sempena Sambutan Hari Guru 2011

PERUTUSAN
PENGARAH PELAJARAN NEGERI  TERENGGANU
MAJLIS SAMBUTAN PERAYAAN HARI GURU
PERINGKAT SEKOLAH NEGERI TERENGGANU TAHUN 2011
JABATAN PELAJARAN NEGERI TERENGGANU


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

YANG BERUSAHA PENGETUA-PENGETUA, GURU-GURU BESAR, GURU-GURU PENOLONG KANAN, GURU-GURU, KAKITANGAN SOKONGAN, PENGERUSI DAN AJK PIBG, IBU BAPA / PENJAGA DAN MURID-MURID YANG DIKASIHI SEKALIAN.

Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama mengucapkan syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya sekali lagi kita warga Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah negeri Terengganu dapat  menyambut Hari Guru 2011.  Sudah menjadi amalan dan tradisi kepada kita warga pelajaran di seluruh pelusuk negara meraikan sambutan Hari Guru pada tanggal 16 Mei setiap tahun.  Sambutan ini adalah merupakan penghargaan dan penghormatan kepada warga guru negeri ini sama ada yang masih berkhidmat ataupun yang telah bersara di mana jua berada atas budi, jasa dan keringat dalam usaha membangunkan modal insan terbilang, Melestarikan Pendidikan Terbilang Negeri Anjung Ilmu.

Hari ini kita merayakan Hari Guru 2011 yang bertemakan Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara dalam usaha Melestarikan Pendidikan Terbilang Negeri Anjung Ilmu.   Saya amat yakin bahawa warga guru hari ini diraikan dengan penuh kehormatan dalam suasana negeri Terengganu mencatat pelbagai kejayaan dalam pendidikan terutamanya mencatat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Awam.  Saya dengan rasa bangga, salam perjuangan pendidikan dan salam mesra persahabatan mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga guru.  Saya merasa terharu dengan semangat juang dan pengorbanan gigih para guru kerana telah berjaya meletakkan pendidikan Terengganu di mercu kejayaan.  Hasil kejayaan demi kejayaan menerusi pendidikan, maka warga guru hari ini telah mendapat tempat di hati pemimpin, ibu bapa dan ahli masyarakat. 
Marilah kita meneruskan kerja-kerja mulia menitis ilmu menggalas agenda Melestarikan Pendidikan Terbilang menerusi penghayatan keagamaan, budaya kerja integriti, budaya kerja berprestasi tinggi dan budaya kerja pencapaian hasil berganda serentak memasyarakatkan guru dan memasyarakatkan murid  sebagai pemangkin dan pelengkap bagi mempastikan pendidikan Terengganu sentiasa pertama dan teratas.

Bersama-samalah kita mengangkat tinggi kecemerlangan pendidikan Terengganu merealisasikan agenda Terengganu Negeri Anjung Ilmu. Semoga kita bersama-sama menghayati dan menyahut cabaran pendidikan masa kini dan akan datang dengan penuh syukur dan sabar dalam menunaikan amanah pendidikan terbilang Terengganu Negeri Anjung Ilmu.  Saya berdoa semoga segala kerja buat persekolahan dan pendidikan para guru hendaknya diberkati, dirahmati dan menjadi ibadah. Syabas, tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga guru.                                                                
Sempena perayaan Hari Guru 2011, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu telah melaksanakan Program Memasyarakatkan Guru, Memasyarakatkan Murid yang melibatkan warga guru, pemimpin masyarakat, ibu bapa, ahli masyarakat dan warga murid serentak seluruh negeri pada 13 Mei 2011 yang lalu.  Aktiviti utama program ialah gotong royong membersihkan masjid dan tanah perkuburan Islam.  Pada tahun ini, sebanyak 22 buah masjid seluruh negeri Terengganu telah dipilih untuk melaksanakan program ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan aktiviti ini.
Sempena Hari Guru 2011 juga, saya mengucapkan terima kasih kepada pemimpin masyarakat, PIBG, ibu bapa dan ahli masyarakat atas pengorbanan dan sumbangan ikhlas kepada kemajuan dan kecemerlangan pendidikan negeri Terengganu.  Pada kesempatan ini juga saya menyeru kepada warga murid negeri Terengganu agar belajar dengan lebih gigih dan berterusan untuk kecemerlangan pendidikan diri serentak memartabatkan pendidikan Terengganu.
Akhir kata saya mengucapkan tahniah, syabas dan terima kasih kepada semua Pengetua, Guru Besar dan seluruh warga sekolah  negeri Terengganu kerana telah berjaya mengadakan Majlis Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Sekolah  sempena Hari Guru 2011.

Sekian dan wassalam.


RAZALI BIN DAUD
Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu


Pejabat Pengarah Pelajaran
Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu
16 Mei 2011

Ucapan Hari Guru mewarnai Facebook SMK Paka

Facebook SMK Paka menjadi salah satu alat perhubungan yang paling mudah dan cepat untuk menyampaikan ucapan Hari Guru selain daripada menghantar kad dan cenderahati. Buktinya Facebook SMK Paka terus dihujani dengan ucapan selamat tidak kira daripada pelajar mahupun bekas pelajar SMK Paka. Berikut disiarkan beberapa ucapan Hari Guru paling kreatif yang dipetik daripada laman Facebook SMK Paka.

Sambutan Hari Guru SMK Paka meriah

Warna warni sambutan Hari Guru SMK Paka 2011
Selain memberi hadiah kepada guru masing-masing, sambutan Hari Guru SMK Paka di sini diserikan dengan pelbagai acara menarik. Perlawanan bola tampar. bola jaring serta acara sukaneka menjadikan suasana penuh ceria sejak dari pagi. Pelbagai ragam mereka untuk memenangi permainan dan pertandingan yang dianjurkan mencuit hati rakan-rakan dan guru-guru yang memenuhi padang  dan dataran perhimpunan sekolah. 
Selepas itu pula, guru-guru menunjukkan kehebatan menyanyikan lagu Guru Malaysia dan Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara dengan penuh semangat. Pelbagai persembahan seperti seloka oleh Cikgu Maulana, Nasyid oleh pelajar Kelab Nasyid bersama Ustaz Zuraihi, Nyanyian oleh Pengawas PSS bersama Cikgu Faziyana, Bacaan Sajak serta persembahan Speech Choir menghiasi sambutan Hari Guru. Sebelum itu juga, mereka diperdengarkan dengan amanat dari YB Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Menerusi sambutan ini, para pelajar memperlihatkan rasa hormat dan menghargai sumbangan guru-guru terhadap jasa dan bakti yang dicurahkan.

Pautan dalaman lain berkaitan Sambutan Hari Guru:
Pusat Sumber Sekolah SMK Paka:
Cempaka Lounge: 
memyselfandmasayu:
Shooting Star Prezz:


Siti Nur Alia johan pertandingan C.O.O.L Blog

SMK Paka telah mencatat nama di Pertandingan C.O.O.L Blog setelah menjadi juara berganda di dalam dua kategori yang dipertandingkan. Pertandingan merekacipta blog ini adalah di bawah anjuran Telekom Malaysia dengan kerjasama Smarts Minds serta Mesra Mall baru-baru ini. Pertandingan berlangsung di ruang legar Mesra Mall, Kemasek.
Kategori pelajar telah dimenangi oleh Siti Nur Alia bt Mohd Zahari dari kelas 1 KRK 2 dengan menewaskan seramai 178 orang peserta daripada 20 buah sekolah yang bertanding. Bagi kategori umum pula di antara badan-badan kerajaan, syarikat swasta dan pelajar IPT, Cikgu Kamal Mizan bin Ismail juga muncul juara. Ini bermakna SMK Paka menyapu bersih di setiap kategori yang dipertandingkan. Pemenang telah membawa pulang wang tunai RM 1000 berserta cenderahati TM dan sijil penyertaan setiap seorang. Sementara itu, dalam kategori pelajar juga, Nur Syahirah bt Wahid dari kelas 4 C memperoleh hadiah saguhati beserta sijil penyertaan daripada Telekom Malaysia. Tahniah diucapkan kepada para peserta yang bertanding.


Blog pemenang dipaparkan kepada pengunjung Mesra Mall

YB ADUN Kemasek menyampaikan hadiah kepada pemenang
Peserta dan Juara kategori pelajar dari SMK Paka
Excellence For All

Facebook SMK Paka

Penafian : Pihak kami tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh
penggunaan maklumat yang dicapai daripada laman web ini.

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP