Tahun  2012 merupakan tahun Ke-11 Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna  Malaysia (FOMCA) dengan sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,  Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menganjurkan Pertandingan  Kepenggunaan sempena Hari Pengguna Malaysia. 
Sambutan  orang ramai terhadap program pertandingan ini amat menggalakkan  berdasarkan kepada peningkatan jumlah penyertaan pada setiap tahun. Pada  tahun 2011, FOMCA sekali lagi mencatatkan kejayaan dengan memperoleh  94,998 jumlah penyertaan secara keseluruhannya.
 
Penyertaan  yang diterima daripada pertandingan yang diadakan pada setiap tahun  itu, terutamanya pertandingan menulis esei, akan dianalisis dan dibuat  rumusan. Input yang diperolehi daripada pertandingan ini amat penting  kerana ia mencerminkan pendapat pengguna di Malaysia. Pandangan dan  cadangan yang diutarakan itu digunakan dengan sebaik mungkin oleh FOMCA,  khususnya dalam usaha untuk melobi agensi kerajaan dalam menyediakan  kerangka perlindungan kepenggunaan yang lebih baik di negara ini.
 
Pada  tahun ini, FOMCA menawarkan hadiah wang tunai yang berjumlah RM200,000  untuk dimenangi. Semua peserta yang menyertai pertandingan kepenggunaan  akan diberikan Sijil Penyertaan. 10 jenis pertandingan kepenggunaan yang  akan dipertandingkan pada tahun ini adalah seperti berikut :-
 
- Pertandingan Mengarang Esei Kepenggunaan
 
- Pertandingan Melukis Poster dan Mereka Bentuk Poster Grafik Kepenggunaan
 
- Pertandingan Melukis Kartun Kepenggunaan
 
- Pertandingan Blog Kepenggunaan
 
- Pertandingan Fotografi Kepenggunaan
 
- Pertandingan Buku Skrap Kepenggunaan 
 
- Pertandingan Video Montaj
 
- Pertandingan ‘Speak Up’
 
- Pertandingan Mewarna Kepenggunaan
 
- Pertandingan Anugerah Penyertaan Terbanyak Peringkat Sekolah
 
 
Selain itu, pelbagai aktiviti promosi juga akan diadakan bagi menggalakkan penyertaan pertandingan.
 
- Ceramah Kepenggunaan di sekolah dan IPTA/S
 
- Pertandingan Mewarna di sekolah rendah
 
- Pertandingan Mewarna di Pasar raya Giant
 
- Pertandingan Mewarna di Komuniti
 
 
Acara  kemuncak bagi program pertandingan kepenggunaan ini adalah Majlis  Penyampaian Hadiah Pertandingan Kepenggunaan 2012 yang akan diadakan di  tempat yang akan ditentukan kelak. Sila layari www.mypengguna.com untuk  keterangan lanjut. Pelbagai aktiviti sampingan yang diadakan pada hari  tersebut seperti Pertandingan Mewarna Akhir Kanak-Kanak, gerai pameran,  demonstrasi dan sebagainya.
 
Pada  tahun ini, Pertandingan Kepenggunaan turut mendapat sokongan daripada  Jabatan Standard Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia. FOMCA juga  ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak korporat yang telah  banyak menyokong aktiviti-aktiviti pendidikan kepenggunaan yang  dijalankan oleh FOMCA. FOMCA berharap Pertandingan Kepenggunaan pada  tahun ini akan menjadi lebih meriah dengan lebih banyak penyertaan  daripada orang ramai. Untuk sebarang maklumat lanjut atau perubahan  terkini, sila layari www. mypengguna.com. 
Dipetik dari laman web www. mypengguna.com